Thursday, July 28, 2011

Ramadhan - solat - puasa = ?

Tangan menari-nari di atas kertas. Lagaknya mengalahkan setiausaha yang sibuk mencatat isi-isi penting sebuah mesyuarat yang dianggotai oleh neuron-neuron. Semua ahli saling bertindak balas bagi mencetuskan idea bernas sempena berlangsungnya pesta ibadat selama sebulan tak lama lagi. Dahi berkerut memerah keringat. Persoalan "apa lagi yang boleh aku masukkan dalam jadual waktuku tika diri berhadas" bertawaf di sekitar minda.Waktu solat wajib bakal berganti dengan zikir. Waktu senggang lain yang telah di atur untuk qiam, solat sunat dan sebagainya hendak ditukar ganti dengan apa? >Bingung<


Tangan mula berlaku curang. Pen dilepaskan. kekunci laptop mengambil alih kedudukan pen di tangan. Pak cik google yang biasa di cari tika kebuntuan menjadi matlamat. Ku paksa pak cik google berkhidmat untukku. Pak cik google akur. (hehe) Blog-blog dan forum-forum islamik berjaya ku masuki dengan bantuan pak cik google. Syukran jazilan ya Pak cik Google. Banyak ilmu berjaya diserap menunggu diamal. Mahu juga ku berkongsi sedikit sebanyak disini bagi mereka yang mempunyai masalah yang sama denganku.=)


Alternatif-alternatif yang boleh dilakukan bagi memanfaatkan setiap saat yang ada terutamanya pada bulan penuh keberkatan yang akan berkunjung tak lama lagi adalah...


1.  Memenuhkan external hard disk, thumb drive, mp3, mp4 dan yang sewaktu dengannya. Penuhkan dengan apa? Penuhkan dengan ilmu-ilmu menjana pemikiran atau alunan nasyid yang bisa menyemarakkan cinta pada Yang Maha Esa.


2.  Pancaindera bekerja lebih masa dengan mengintai majlis-majlis ilmu yang boleh disertai


3.  Menghafaz/ mengulang surah-surah Alquran yang dihafaz 


4.  berkumpul sesama rakan-rakan melakukan usrah atau halaqah


5.  Menyediakan santapan berbuka dan bersahur 


6.  Melakukan kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti amal membantu mereka yang kurang bernasib baik dari segi keringat atau harta benda


7.  Iqra'...bacalah..Memperbanyak bacaan mengisi rohani tidak kira melalui blog atau buku


8.  Berkongsi ilmu dengan orang lain. Paling mudah semestinya dengan link kan di laman facebook atau twitter.


9.  Memperdengar bacaan ayat-ayat suci Al-quran dari Qari dan qariah


10. Muhasabah diri dan mencari jalan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.


Kesimpulannya.. berhadas bukan alasan untuk kita bermalas-malasan. Walaupun bukan kesemuanya akan ku masukkan dalam plan Ramadhanku kerana terdapat kekangan yang memaksa tangan menolak beberapa usul ke tepi, namun yang bersesuaian dan mampu dilakukan akan cuba dilakukan. Buat sahabat-sahabat yang terbaca coretan ini dan mempunyai cadangan amalan-amalan yang boleh dipraktikkan semasa berhadas. Mohon kongsikan di sini. Saya menggalakkan saudara dan saudari yang bijak bistari melontarkan idea tanpa malu-malu di sini yah. =)






Monday, July 25, 2011

Bulan penuh barakah

tika nikmat mencurah-curah
cuba ambil sedikit masa untuk melihat ke bawah
supaya rasa syukur menyelinap ke dalam diri


tika ujian menduga-duga
cuba melihat sekeliling
bawah, atas, kiri dan kanan
agar keinginan untuk berjuang itu tidak pernah luntur
kerana peluang ke atas itu ada di sekeliling kita
hanya menunggu kita untuk mencurinya
dan menggunakannya sebagai tangga untuk memanjat ke atas


Rasa malas, takut, tangguh...
nyah kau...
biar rajin dan berani mengganti tempatmu...


Moga peluang keemasan yang akan tiba tak lama lagi ini dipergunakan sebaiknya
Biar Ramadhan itu
lebih baik daripada Ramadhan-Ramadhan yang telah berlalu
menjadi detergen yang paling berkesan untuk menghapus kesan-kesan kotor dosa...
menjadi ubat terbaik menyembuh sakit-sakit jiwa
menjadi cat yang akan mewarnai hidup yang kusam tanpa tujuan
menjadi guru cemerlang mendidik diri yang leka 11 bulan yang lepas
menjadi reminder mengingatkan akan Pencipta dan hari Pembalasan
jangan biar sebulan itu berlalu begitu sahaja
manfaatkan sepenuhnya




Owh bulan...
Ahlan wasahlan ya Ramadhan Al Mubarak
Selamat beribadat pembaca yang disayangi sekalian
=)

Thursday, July 21, 2011

XY to XX

telinga terdengar sesuatu yang pelik lantas menyebabkan mata dengan sepantas kilat menoleh...mata terpaku di kaca televisyen... kelibat wanita sempurna dilitupi dengan pakaian persis wanita solehah dambaan lelaki terpapar... kewanitaannya kelihatan sempurna dari segi luaran hasil pembedahan di Thailand... sekarang berusaha bersungguh-sungguh menjadi wanita sejati dengan memohon untuk menukar jantina asal yang tercatat di kad pengenalan...alasannya hanya untuk diterima di universiti... saya terkesima... otak ligat menafsir berita yang baru terdengar tadi...


satu perkataan yang terpancul di akal fikiran saya... THANKLESS... tidak bersyukur... jantina adalah satu kurniaan dari Pencipta buat hambaNya... siapa kita untuk mengatakan kita sepatutnya dilahirkan begini bukan begitu..??? seorang hamba yang kerdil mahu pertikai keputusan ALLAH Yang Maha Bijaksana... yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya... yang menguji hambaNya untuk melihat betapa kuatnya kecintaan kepadaNya... walau lelaki macho mampu bertukar lahiriahnya menjadi wanita jelita sekali pun... ingatlah... kita tetap lemah.. tidak akan mampu untuk menukar XY kepada XX atau sebaliknya... lelaki tetap lelaki dan perempuan tetap perempuan selamanya...


"Bagi Allah jualah hak milik segala yang di langit dan di bumi.Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki." (42:49)


apa yang lebih pelik adalah pelaksanaan kewajipan ke atas seorang wanita yakni menutup aurat... fuh wanita-wanita... anda masih ada yang belum bertudung... tapi seorang lelaki ini benar-benar meronta-ronta jiwanya untuk menutup aurat....kita kalah dengan seorang lelaki... =)...mungkin dia terlupa yang ALLAH melaknat lelaki-lelaki yang berpakaian seperti perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti lelaki... agama yang mudah dijadikan complicated... Islam itu cara hidup... segalanya sudah diterangkan dengan jelas lagi bersuluh...


"Rasulullah bersabda: ALLAH melaknati lelaki yang berpakaian perempuan dan perempuan yang berpakaian lelaki" (Hadis riwayat Bukhari)


Alhamdulillah.. saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana hakim bertindak bijak menolak permohonan itu... kerana andai kejayaan memihak kepada pemilik kad pengenalan tersebut... sudah tentu akan ada followers yang sanggup beratur panjang memfailkan permohonan penukaran jantina dalam kad pengenalan... kemudian akan terjadi fenomena mak nyah yang seterusnya meningkatkan gejala homoseksual sehingga mampu mengalahkan peningkatan harga minyak dunia... kemudian dunia akan kembali ke zaman jahiliah yakni seperti umat nabi Luth yang melakukan aktiviti sumbang homoseksual secara berleluasa... 


"Maka ketika keputusan Kami datang, Kami menjungkirbalikkan negeri kaumLut dan Kami hujani mereka bertubi-tubi dengan batu dari tanah yang terbakar." (11:82)


begitukah pengakhiran yang kita inginkan???  tepuk dada tanya iman....


Tuesday, July 19, 2011

1+1=2

seorang demi seorang meninggalkan dunia solo
menuju ke fasa kehidupan baru 
bermula dengan lafaz ijab dan qabul
maka hubungan yang haram
menjadi halal, penuh barakah
lafaz-lafaz doa mengiringi perjalanan ke pintu gerbang 
yang menghubungkan antara dua alam


sebaik kaki tertapak di muka pintu
tanggungjawab berat tergalas di bahu
ganjaran pahala berterbangan di sekeliling
syaitan mula memainkan peranan meruntuhkan mahligai
kesabaran dan ilmu sebagai pendinding
doa kudus terutus selalu
hanya ALLAH sebagai penentu
dipanjat doa berkekalan sehingga ke syurga


tahniah buat semua sahabat-sahabat yang selamat bergelar isteri...=)


"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri" (riwayat bukhari dan muslim) 


"Dan kahwinlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin ALLAH akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana ALLAH Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui." (24:32) 


Saturday, June 25, 2011

siapa kita?

kehidupan merupakan sebuah pentas yang mempunyai pelakon yang paling ramai
setiap pelakon diberi kebebasan memilih watak yang mereka ingin mainkan
sama ada menjadi watak agonis mahupun antagonis
scene lakonan dan situasi akan ditentukan oleh pengarah
namun watak dan dialog yang hendak dimainkan bebas terletak di tangan masing-masing
apakah watak yang sedang kita mainkan?
watak seorang kaki buli, perogol, pengumpat yang selalu kita perlekehkan tika menonton filem
atau watak seorang yang beriman, ikhlas, suka membantu, dan penyayang yang kita kagumi






Ya ALLAH suburkan hatiku dengan sifat-sifat mahmudah dan jauhi aku daripada sifat-sifat mazmumah...Ameen...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...